Followers

Wednesday 16 May 2012

Hukum Menggabungkan Puasa Qadha dan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164]. Hadis sahih ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran pahala kepada sesiapa yang berpuasa sunat enam hari di bulan syawal. Telah menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang terutamanya wanita, iaitu kecenderungan untuk menggabungkan puasa sunat enam syawal dengan puasa qadha, atau dengan istilah lebih mudah, puasa 2 dalam 1. Persoalannya, adakah amalan ini direstui oleh syarak atau sekadar pandangan segelintir ulama yang kemudiannya menjadi kebiasaan yang diterima pakai. Bicara ini hanyalah lanjutan hujah daripada beberapa orang tokoh agama Tanah Air, saya sekadar melebarluaskan pandangan mereka dengan menggunakan bahasa dan pendekatan tersendiri. Untuk memudahkan sahabat melakukan rujukan, akan saya sertakan link mereka nanti. Antara mereka yang saya maksudkan ialah Prof Dr Mahmud Zuhdi,seorang Pensyarah Akademi Pengajian Islam UM, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, bekas Pensyarah Akademi Pengajian Islam UM, juga penulis Tafsir Pimpinan Muttaqin, Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Kelantan (KIAS) dan juga Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan., Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri , bekas pensyarah di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, dan sekarang ini diamanahkan sebagai Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat. Terus kepada tajuk, mengenai hal ini, ulama sebenarnya berbeza pendapat. Ada yang berpendapat, Ia boleh dilakukan dan ada juga ulama yang berpandangan sebaliknya, iaitu tidak boleh digabungkan antara puasa sunat syawal dengan puasa qadha. Tentang pandangan ulama yang mengharuskan, sahabat boleh langsung merujuk artikel yang ditulis oleh Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor( klik SINI). Cuma, secara ringkas, ulama yang berpandangan sebegini merumuskan, apa sahaja puasa yang dilakukan dalam bulan syawal(sama ada qadha, nazar atau apa sahaja), dianggap memenuhi kehendak puasa enam hari di bulan tersebut. Jadi pahala puasa sunat syawal akan diperolehi secara automatik apabila seseorang melakukan puasa qadha dalam bulan syawal, sama ada dia niat atau tidak diniatkan puasa sunat itu. Tentang persoalan niat pula, mereka berhujah bersandarkan dalil yang umum tentang niat, iaitu “ Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang mendapat hanya apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no 3530) Bentuk pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya. Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya. Namun, menurut kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qadha dan puasa sunat Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qadha sahaja. Menurut Ibn Hazim pula kedua-duanya tidak sah. Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24). Matlamat Puasa Qada Ramadhan adalah kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Matlamat Puasa enam Syawal pula adalah ekoran daripada puasa wajib Ramadhan. Lebih lanjut tentang penjelasan ini, langsung sahaja membaca artikel yang ditulis oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (klik SINI) Menurut Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, yang juga dikenali sebagai Abu Anas Madani, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Sila rujuk artikel beliau (klik SINI) atau langsung ke web site Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Kelantan ( klik KIAS) Secara peribadi saya amat tertarik dengan hujah yang diblontarkan oleh Prof Dr Mahmud Zuhdi. Beliau juga tidak menerima atau tidak mengharuskan amalan puasa dua dalam satu ini. Prof Dr Mahmud Zuhdi menegaskan amalan mengabungkan puasa qadha dengan puasa sunat enam syawal ini bercanggah dengan hadis yang bermaksud “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Umum mengetahui, MENGIRINGI membawa maksud berasingan dan bukannya digabungkan. Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Kata Prof Dr Mahmud Zuhdi lagi, ia ibarat seseorang yang ingin membayar hutang, namun dalam masa sama, duit itu ingin disedekahkan kepada orang memberi hutang kepadanya. Tentu sekali tidak dapat diterima, sebab hutang wajib dilunaskan manakala sedekah pula hanyalah amalan sunat. Kesimpulannya, eloklah dilaksanakan secara berasingan meskipun ada pendapat yang mengatakan ia boleh disatukan. Ambil jalan selamat di sebalik khilaf ulama. Selesaikan dahulu puasa ganti yang bertaraf wajib , kemudian barulah kita kejar puasa enam syawal yang bertaraf sunat. Segunung ibadat sunat tetap tidak mampu menandingi ibadat wajib. Jutaan solat sunat yang dilakukan tetap tidak bererti andainya solat fardhu tidak dilaksanakan. Segunung sedekah tiada maknanya andainya zakat diabaikan. Saya berminat sekali untuk perturunkan nasihat yang titipkan oleh Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman “Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw: Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]”

1 comment: